Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Penulis acapkali dikotakkan bahawa, jika si ibu kehilangan suami ( 
meninggal ), amat sukar bagi si ibu untuk mencari peganti kerana kasih 
sayang si ibu lebih kepada anak-anak. Berlainan pula dengan si bapa, 
amat sedikit bilangan mereka mengekalkan kedudaan mereka untuk 
menumpukan masa kepada anak-anak.
Mungkin masing-masing ada alasannya. bagi si ibu, mungkin, jika dia 
berkahwin, anak-anaknya akan terabai, manakala bagi si suami, mungkin 
jika berkahwin, isteri barunya mampu menjaga anak-anaknya( berlainan 
pula dalam cerita 
papadom ).
Penulis agak kagum dengan kisah seorang ibu ini. Mampu menbesarkan dan 
mendidik bukan 8orang anak, bukan 9 orang anak, tetapi............13 
Orang.
WANITA yang bernama Noor Jannah Ahmad, 42, sangat bertuah kerana bukan 
saja mampu melahirkan 13 anak, memiliki empat anak kembar lelaki malah 
mampu membesarkan semua anaknya dan memberi pendidikan sepenuhnya kepada
 mereka.
 Menurut pelukis ilustrasi ini, 
dia tidak pernah merancang memiliki anak ramai, tetapi dibesarkan dalam 
keluarga besar dengan 12 beradik. Sebagai anak sulung, menjaga adik 
adalah pengalaman yang amat meletihkan.
 
"Ketika itu saya bangga dengan mak kerana mampu menjaga kami 12 beradik 
dalam keadaan serba kekurangan. Jadi saya merancang memiliki empat anak 
saja apabila berkeluarga," katanya memulakan cerita. 
Belum sempat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia, Noor Jannah dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga. Ketika itu dia berusia 17 tahun dan suaminya 20 tahun.
 
Namun, dugaan Tuhan datang menimpa ketika anak kedua berusia 30 hari, suami tercinta maut dalam kemalangan jalan raya.
"Betapa luluhnya hati saya mengenangkan anak masih kecil tidak berbapa. 
Namun, saya reda menerima dugaan Tuhan dengan tabah," katanya.
Empat tahun kemudian dia diduga lagi apabila dipinang untuk menjadi 
isteri kedua kepada Ahmad Izhar Mohammed Noor oleh ibu mentuanya 
sendiri. Atas dasar kekeluargaan, dia menerima dengan reda kerana dulu 
dia adalah anak angkat kepada ibu mentuanya kini.
Selepas dua bulan berkahwin, Noor Jannah disahkan mengandung dan 
melahirkan anak perempuan, Noor Alifah Ammatillah. Memiliki kesuburan 
tinggi sama seperti ibunya menyebabkan dia mengandung setiap tahun, 
hasilnya dia mendapat empat anak lelaki daripada perkahwinan kedua 
menjadikan jumlah anaknya tujuh.
Oleh kerana sangat sukakan kanak-kanak, dia dan suami sepakat memperoleh
 seorang lagi anak perempuan untuk kelahiran kelapan termasuk dua anak 
dengan suami pertama, selepas itu barulah melakukan perancangan 
keluarga.
"Alhamdulillah selepas melahirkan anak kelapan, saya memperoleh anak 
perempuan dan ini menguatkan semangat saya untuk merancang keluarga 
kerana sudah cukup dengan enam lelaki dan dua perempuan. Tambah pula 
rakan memberikan galakan kepada saya supaya mengambil pil perancang," 
jelasnya.
Dengan bersusah-payah serta sedikit ilmu yang diperoleh di Internet, 
Noor Jannah mendapatkan maklumat di Lembaga Pembangunan Penduduk dan 
Keluarga Negara (LPPKN) di Jalan Raja Laut, Kuala   Lumpur.
"Doktor menyarankan saya mengambil pil perancang Marvelon, namun selepas
 tiga bulan, darah saya membeku menyebabkan saya mengalami kesakitan 
teruk.
"Berbekalkan sedikit ilmu saya pergi semula ke LPPKN untuk menukar 
bentuk perancangan kerana berasakan pil tidak sesuai dengan hormon badan
 yang sudah melahirkan lapan anak. Kemudian saya disarankan mengambil 
suntikan setiap sebulan.
"Selepas dua bulan, saya mengalami muntah dan demam yang teruk. Namun, 
rakan yang pernah mengambilnya mengatakan ini simptom biasa.
"Saya biarkan saja sehinggalah sampai kepada bulan ketiga. Tidak tahan 
menanggung sakit saya berjumpa doktor, bagaikan dipanah petir mendengar 
kata-kata doktor yang saya sedang mengandung.
"Mana mungkin mengandung sedangkan saya berusaha untuk mengelak 
kehamilan. Saya menangis dua minggu kerana penat lelah saya menaiki bas,
 dengan mengendong anak kecil ke LPPKN, tetapi dibalas dengan perkara 
yang sangat menduga keimanan saya.
"Ketika itu pula kerjaya sedang berada di kemuncak, ditambah pula 
tekanan menjadi isteri kedua. Ia sangat menguji kesabaran. Kalau boleh 
saya mahu berehat dan merancang ekonomi keluarga pula," katanya.
Noor Jannah berasa sangat kecewa kerana Tuhan tidak menolongnya atau 
memakbulkan doanya, malah diberi ujian baru pula. Dengan penuh rasa 
kecewa dia berdoa Allah memberikan anugerah terbaik untuk kandungan ke 
sembilannya ini dan selepas itu dia akan meredai apa yang berlaku.
Ketika menjalani pemeriksaan kandungan 15 minggu, alangkah terkejutnya 
apabila doktor memberitahu dia bakal melahirkan anak kembar. Ketika itu 
hati Noor Jannah kembali berbunga dan berasakan inilah anugerah paling 
bernilai yang akan diterimanya.
Apa yang membuatkan dia lebih terkejut ketika pemeriksaan lima
 bulan, doktor mengesahkan kandungannya mempunyai tiga denyutan jantung.
 Paling menghairankan apabila ketiga-tiga janin dalam kantung (rahim) 
berlainan.
"Ketika itu sayalah orang paling gembira kerana bakal melahirkan anak 
kembar tiga dan saya mula terfikir mengenai rahmat Allah ini," katanya.
Oleh kerana kes dialami Noor Jannah sangat luar biasa, dia menjadi 
perhatian pakar perubatan dalam dan luar negara serta ditempatkan di 
Hospital Selayang selama tiga bulan untuk pemantauan.
Semua pakar berasakan yang Noor Jannah hanya bertahan sehingga tempoh 28
 minggu, sekali lagi keajaiban berlaku apabila dia mampu bertahan 
sehingga 35 minggu dan ini sangat luar biasa bagi ibu mengandung kembar 
tiga.
Lebih membuatkan mereka terkejut Noor Jannah bukan saja melahirkan 
kembar tiga seperti diberitahu doktor, sebaliknya kembar empat lelaki.
Walaupun terpaksa menanggung kesukaran membesarkan anak, dia tidak 
pernah merungut dan sentiasa ikhlas menjaga mereka walau terpaksa 
berkorban masa dan tenaga.
"Kelahiran kembar empat ini sangat istimewa serta pembawa rezeki kepada 
saya. Cinta saya kepada Allah semakin kukuh dan dekat. Saya sentiasa 
berinteraksi dengan-Nya pada setiap waktu.
"Malah kini baru saya sedar semua dugaan yang diberikan ada hikmah di 
sebaliknya andai kita menjadi insan sabar dan reda dengan setiap dugaan.
"Walaupun serba kekurangan, saya sentiasa reda dan tawakal dengan rezeki
 yang diberikan. Sedikit, tetapi semua mencukupi. Saya juga mendidik 
anak berjimat dan mengajar mereka untuk bersama-sama menambah 
pendapatan," katanya.
Di sinilah bermula perjalanan hidup Noor Jannah yang banyak merubah 
pandangan orang lain terhadap dirinya. Jika ada berkata gaji kecil tidak
 cukup untuk anak ramai, dia menyangkal dakwaan itu. Ini kerana dia 
berjaya mengubah persepsi orang lain terhadap dirinya.
Menurutnya, pada mulanya masyarakat bersimpati kepadanya dengan 
menghulurkan bantuan apabila mengetahui dia mempunyai 13 anak dengan 
seorang menghidap penyakit jantung berlubang. Mereka menganggap apabila 
beranak ramai, bermakna perlu diberi simpati dan dikasihani.
"Pada mulanya saya menerima juga sumbangan orang ramai, tetapi sampai 
bila? Saya tidak perlu dikasihani kerana saya mampu menjaga anak dengan 
rezeki yang ada. Bukan bermakna saya ego, tetapi saya tidak mahu 
masyarakat menganggap, "Oh patutlah kehidupannya begini sebab beranak 
ramai."
"Saya mahu orang menghormati saya kerana mampu menjaga dan mendidik mereka seperti orang lain," katanya.
Sejak itu, dia berusaha menjadi ibu berilmu dengan meluaskan pengetahuan
 menerusi pembacaan di Internet. Apa saja dilakukan dia akan membuat 
kajian terlebih dulu, sehinggakan jenis ubat yang diambil anak-anaknya, 
Noor Jannah mengambil tahu mengenai kandungan serta kesan yang akan 
dialami.
Ini membuatkan doktor sendiri kagum dengan pengetahuan yang ada dalam 
dirinya sehingga melantiknya sebagai rakan hospital di Hospital Tengku 
Ampuan Rahimah, Klang.
"Bayangkan saya hanya memiliki Sijil Rendah Pelajaran, tetapi apabila 
berbual, ramai menyangka saya berpendidikan universiti kerana setiap 
perbualan akan saya selitkan dengan bukti serta contoh tertentu," 
katanya.
Dia juga mahu menukar persepsi orang ramai yang sering menganggap ibu beranak ramai tidak mampu menjadi ibu terbaik.
"Saya mahu menukar paradigma dengan memberitahu kepada semua orang yang 
saya beranak ramai kerana memiliki pengetahuan dan mampu mendidik anak 
menjadi insan berguna," jelasnya.
Baginya, tekanan atau tidak bergantung kepada caranya mampu 
mengendalikan perasaan dan penilaian hidup seharian yang akan mengubah 
persepsi orang lain terhadapnya.
Kini selepas 24 tahun, Noor Jannah sudah boleh menarik nafas lega kerana
 dua anaknya sudah bekerja dan mengikut jejak langkah ayahnya dalam 
bidang penyiaran iaitu sebagai pengarah televisyen serta jurutera bunyi.
Selepas kembar empat berusia sembilan bulan, Noor Jannah mengandung lagi
 untuk anak ke-13 pada usia 35 tahun dan kini pada usia 42 tahun, dia 
sangat berbangga mempunyai 13 anak yang bukan saja berdikari, tetapi 
sangat memahami.
Bagi Noor Jannah, anak inilah harta paling bernilai yang tiada tolok 
bandingnya. Merekalah yang akan memanjangkan pahalanya selepas dia 
meninggal nanti iaitu doa anak yang soleh. 
Nama anak: 
1. Muhammad Amirul Muttaqin, 23 (pengarah televisyen dan jurugambar) 
2. Muhammad Amirul Musoddiqin, 22 (jurutera bunyi) 
3. Noor Alifah Ammatillah, 18 
4. Ahmad Aiman Al Mubaraq, 16 
5. Ahmad As'ad, 15 
6. Muhammad Izzat, 13 
7. Muhamamd, 11 
8. Nur 'Umairah, 10, 
9. Ahmad Amjad Azri, 8 
10. Ahmad Amjad Bahzi, 8 
11. Ahmad Amjad Fitri, 8 
12. Ahmad Amjad Ghazi, 8 
13. Nur Asyran Nabihah, 7 
Untuk
 yang masih belum berkahwin, persiapkan diri anda. Tanggungjawab yang 
bakal dipikul, amatlah berat. Penulis ingin menekankan, INI BUKAN 
PERKARA MUDAH!!
Nota kaki :
- Jika anda menghayati artikel diatas, Noor Jannah ada menyatakan bahawa, anak
 inilah harta paling bernilai yang  tiada tolok bandingnya. Merekalah 
yang akan memanjangkan pahalanya selepas dia meninggal nanti  iaitu doa 
anak yang soleh. Penulis tidak mengerti, adakah si pembuang anak ini, 
tidak menghargai harta? Bukan semua pasangan mempunyai peluang untuk 
dikurniakan harta yang amat bernilai.
 
- Bagi Kak Hajjar, appreantice mu di 
sini mungkin tidak berpeluang ke Muar walaupun permintaan ramai disana 
menantikan kehadiran ku. Semoga urusan perkahwinan akak berjalan lancar.
 
- Penulis masih bersikap kebudak-budakan? mungkin memerlukan masa yang banyak untuk berubah.